KANAK-kanak mungkin terlalu muda untuk mengundi dalam sesuatu pilihan raya umum, namun itu tidak menjadi penghalang kepada mereka mengenali konsep demokrasi.



Atas sebab itu, Unit HEM SK Tambun Tulang mengambil inisiatif mengadakan pilihan raya dalam kalangan pelajar tahap 2 bagi mengundi calon kegemaran mereka untuk menerajui tampuk kepimpinan pengawas bagi sidang 2021.


Meletakkan enam calon iaitu Nur Adriana Sahira binti Ahmad Firdaus, Aqif Danish Rifqie bin Anuar, Nurul Alia Zambri, Ikram Zikri bin Jasferi, Bisyaratul Husna Jamidin dan Nafis Raziq Irwan, mereka berkempen secara norma baharu untuk meraih undi selama empat hari berturut-turut.








Malah, calon-calon juga turut menjalani proses yang sama seperti pilihan raya sebenar apabila mereka perlu menggantung poster yang direka sendiri di sekeliling kawasan sekolah, menyebarkan manifesto melalui saluran YouTube sekoleh (SKTT TV) dan radio sekolah (SKTT.FM), dan melalui proses temu duga oleh barisan pentadbir sekolah.























Dalam proses membuang undi pula, murid-murid dengan bantuan guru-guru menubuhkan stesen undi bagi membolehkan murid mengundi seperti yang dijalankan dalam pilihan raya sebenar. Ada juga murid yang bertugas sebagai pemerhati, ejen, dan kerani undi. 









Proses undian berjalan dengan lancar dengan menitikberatkan SOP, murid memeriksa suhu dan memakai cecair pembasmi kuman sebelum mengundi, dan menjaga jarak 1 meter antara satu sama lain. Walaupun dijalankan semasa hari persekolahan, PdPr tidak diketepikan kerana ianya berjalan seperti biasa. Setiap kelas dipanggil secara bergilir-gilir oleh radio sekolah. 




Pada pilihan raya ini, Nur Adriana Sahira telah memenangi undi majoriti dan telah dilantik menjadi Ketua Pelajar, manakala Nafis Raziq Irwan merupakan Timbalan Ketua Pelajar bagi sesi 2021. Pemilihan ini adalah berdasarkan bilangan undian oleh murid-murid tahap 2, bilangan 'likes' di video manifesto masing-masing serta markah semasa temuduga bersama barisan pentadbir. 





Pn Rosmani binti Man, Guru Besar SK Tambun Tulang berkata, melalui acara pilihan raya ini, ianya dapat mendedahkan murid kepada proses pelaksanaan sistem demokrasi. Beliau juga berharap murid-murid yang telah terpilih akan melaksanakan tanggungjawab menguatkuasakan undang-undang dan disiplin di sekolah, serta dapat menjadi contoh tauladan kepada murid-murid lain.





Program ini juga telah dihadiri oleh wakil dari SSTP Negeri Perlis, Cikgu Arifah Raedah dan Cikgu Zamzuri Ghazali.